Di saat aku menaip ini, jam menunjukkan pukul 11:19 malam. Selamat tinggal tahun 2007, selamat datang 2008.
Salji turun sungguh lebat sepanjang perjalanan ke Ikawa Skii. Perasaan teruja dan gembira melihat salji turun menggamit resah di hati pelanggan aku untuk keluar dari kereta. Nasib baik minyak kereta perlu diisi. Sebaik kereta berhenti, cepat-cepat pintu kereta belakang di buka. Terus turun menikmati salji yang jatuh di muka. Terpancar kegembiraan yang tak terkira.
Perjalanan di teruskan, salji juga tak kurang hebatnya menutupi bahu-bahu jalan dan atap rumah. Kawasan sekeliling kelihatan memutih di mana-mana. Ranting-ranting pokok turut dilitupi salji yang memutih. Indah! Puas mata memandang!
Melewati kaki gunung, perjalanan menuju ke puncak semakin mencabar. Kami dan beberapa buah kereta mulai berhenti untuk memasang rantai di tayar. Mengelak dari tergelincir apabila berjalan di atas ais. Bukan pekerjaan yang mudah untuk memasang rantai di tayar, dengan cuaca yang sejuk, terpaksa pula memegang rantai besi. Memang menyeksakan. Tetapi demi keselamatan penumpang, itulah sebuah pengorbanan bagi kapten kapal. Hehehe.
Berada di kemuncak gunung memang menyeronokkan. Melihatkan padang salji yang memutih, deretan manusia yang meluncur laju, gondola yang bergerak tidak jemu-jemu. Kesemua pemandangan ini adalah asas bagi sebuah kawasan untuk bermain skii.
Sesuatu yang agak merugikan apabila terpaksa pulang awal kerana dikhuatiri cuaca akan menjadi bertambah buruk. Lebih kurang pukul 4.15 petang kami bertolak pulang ke rumah. Walaupun hanya beberapa jam berhibur di kemuncak tetapi masing-masing kelihatan puas dan kepenatan.
Insyaallah esok kami akan berada di sekitar Tokushima. Mungkin banyak menghabiskan masa di kedai 100 yen. hehehhe....
Selamat malam.
Posted at 11:47 pm by
kirei onna